Monday, December 17, 2012

UCAPAN DASAR, PRESIDEN PERKASA YB DATO’ IBRAHIM ALI PERKASA MENONGKAH ARUS.


Sempena,Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara, Di Padang Astaka, Taman Titiwangsa & Persidangan Agung Perkasa kali ke-3 Di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru, K.Lumpur. Pada 1 Safar 1433H bersamaan 15hb Disember 2012

1. PERKASA wujud untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia, doktrin undang-undang tertinggi negara, yang penggubalannya dipersetujui oleh seluruh rakyat berbilang bangsa. Ini bermakna PERKASA bukan pertubuhan perkauman atau organisasi rasis. Sebaliknya, PERKASA lahir untuk mempertahankan hak semua rakyat Malaysia, termasuk hak kewarganegaraan keturunan bukan Melayu di dalam perlembagaan negara. Ini sebabnya PERKASA tegas dan tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja, waimah orang Melayu, atau bukan Melayu, yang cuba mengeksploitasikan sesetengah peruntukan penting dalam perlembagaan negara, demi kepentingan sempit, atau atas matlamat politik perkauman.
2. Berasaskan hujah ini, marilah sama-sama kita imbas semula, secara ringkas, sejarah pembentukan perlembagaan negara kita oleh Suruhanjaya Reid, mulai pertengahan tahun 1956. Suruhanjaya ini membentuk perlembagaan negara kita, berdasarkan beberapa mandat khusus yang direstui oleh Ratu Inggeris, dan diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu. Antara mandat utamanya adalah: mewujudkan satu bentuk nasionaliti (a common nationality) bagi seluruh negara; memelihara kedudukan istimewa orang Melayu; dan melindungi kepentingan sah lain-lain keturunan di Malaysia. Seluruh mandat ini mempunyai persamaan dengan kehendak Perikatan yang di wakili oleh parti UMNO, MCA, dan MIC.
3. Namun begitu, Suruhanjaya Reid telah menggandingkan mandat ini dengan hakikat atau realiti sejarah, tradisi dan kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu di zaman penjajah Inggeris. Suruhanjaya ini bertindak sedemikian rupa kerana ia mahu menjadikan perlembagaan negara kita benar-benar serasi dengan keadaan pada ketika itu, dan bersifat adil kepada seluruh rakyat Malaysia yang majmuk. Maka, suruhanjaya tersebut pun membentuk perlembagaan negara kita menerusi pendekatan yang telus dan menyeluruh. Mulai bulan Mei tahun 1956, Suruhanjaya Reid mengundang pelbagai individu dan pertubuhan di Tanah Melayu, untuk secara sukarela, mengemukakan memorandum bertulis yang mengandungi cadangan, pendapat dan maklumat, mengenai kandungan Perlembagaan Persekutuan. Suruhanjaya Reid juga mengizinkan mereka bertindak secara rahsia atau terbuka.
4. Hasilnya, Suruhanjaya Reid menerima 131 memorandum, menganjurkan 18 pertemuan di Kuala Lumpur, dan 13 lainnya di negeri-negeri Melayu serta negeri-negeri Selat. Pihak yang mengemukakan memorandum dan terlibat dalam pertemuan tersebut, termasuklah wakil-wakil Ratu Inggeris, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Perikatan, Parti Buruh Malaya, Parti Negara, Kongres Kebangsaan Melayu Johor, Kesatuan Islam Malaya, pelbagai pertubuhan Islam, Budha, Hindu dan Kristian; pelbagai organisasi pendidikan Melayu, Cina dan India; serta pelbagai pertubuhan pedagangan Melayu, Cina, India dan Eropah.
5. Majoriti kandungan memorandum, cadangan dan hasil pertemuan ini, dijadikan asas kepada penyediaan Perlembagaan Persekutuan, oleh pihak Suruhanjaya Reid. Maka terbentuklah perlembagaan negara kita yang kekal sehingga ke hari ini. Sesetengah peruntukan di dalam perlembagaan ini juga dijadikan asas pembentukan beberapa dasar negara kita yang merdeka. Oleh sebab itu, PERKASA sangat kesal kerana pada hari ini masih wujud pihak-pihak tertentu yang mempersoalkan sesetengah dasar-dasar negara, termasuk dasar pendidikan nasional.
6. Lebih serius lagi, terdapat pula segelintir rakyat Malaysia yang memperjuangkan pluralisme dan liberalisme, kini bersuara supaya umat Islam di Malaysia diberikan peluang memilih agama masing-masing. Suara-suara seperti ini adalah suara-suara yang mencanggahi perlembagaan negara. Hakikatnya demikian, kerana walaupun Perkara 11 dalam perlembagaan negara memberikan kebebasan beragama, Perkara 11(4) dalam perlembagaan yang sama, pula menyekat sebarang pihak mengembangkan fahaman keagamaan mereka kepada umat Islam. Ini memberikan tafsiran bahawa umat Islam tidak boleh memeluk agama lain, melainkan Islam. Hakikat ini diperjelaskan lagi oleh Perkara 160 dalam perlembagaan negara kita, yang mentakrifkan Melayu sebagai orang yang beragama Islam.
7. Oleh sebab itu, PERKASA merayu kepada seluruh rakyat Malaysia yang secara langsung, atau secara tidak langsung, cuba mempertikaikan Perlembagaan Malaysia, rentikanlah segera perbuatan songsang ini. PERKASA mengeluarkan rayuan ini kerana tindakan seperti ini adalah tindakan anti-nasional, tindakan yang boleh mengancam keharmonian beragama, dan tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan bangsa. Tindakan seperti ini, jika berterusan, berpotensi mengancam nilai-nilai teras Malaysia dan mengancam kelangsungan atau survival Malaysia yang majmuk. Jika Malaysia kacau-bilau akibat tindakan seperti ini, semua pihak akan rugi, dan negara kita ini boleh terjerumus menjadi negara yang lemah, negara yang rapuh, atau negara yang gagal. Jika Malaysia menjadi negara dalam ketiga-tiga kategori ini, kerajaan kita tidak akan terdaya untuk menggunakan iltizam politik, dan menggunakan sumber-sumber ekonomi negara, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Malaysia.
8. Begitu juga halnya dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di dalam perlembagaan negara. Sampai hari ini masih terus wujud pihak yang tidak jemu-jemu mempertikaikan Perkara 153 mengenai perkara ini. Pada awal tahun 1960-an, mereka jadikan Perkara 153 ini, antara peruntukan perlembagaan untuk menyemarakkan sentimen anti-Melayu di Malaysia. Perkara ini tidak berhenti walaupun sesudah Singapura disingkirkan daripada Malaysia pada 8 Ogos 1965. Ini kerana mulai 1967, ada pula pihak yang mendeklarasikan bahawa ia mendukung semangat perjuangan Malaysian Malaysia dan menggunakan manifesto “towards a Malaysian Malaysia” dalam Pilihan Raya Umum 1969.
9. Orang Melayu dan Bumiputera yang menjadi pribumi Malaysia dan penduduk terbesar di Malaysia, pastinya terguris hati dengan gerakan seperti ini. Namun begitu, orang Melayu dan Bumiputera tetap bersabar dan terus bertoleransi. Kita tidak pernah sekali pun bertindak balas dan mempersoalkan keistimewaan bukan Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan negara. Untuk pengetahuan seluruh rakyat Malaysia, peruntukan perlembagaan mengenai kewarganegaraan adalah peruntukan yang paling istimewa. Peruntukan ini, iaitu yang termaktub dalam Bahagian III Perlembagaan Malaysia, sebenarnya adalah satu undang-undang kewarganegaraan Malaysia yang lengkap. Undang-undang ini dimaktubkan ke dalam Perlembagaan Malaysia untuk mengelakkan kebimbangan rakyat bukan Melayu bahawa jika kewarganegaraan mereka dibuat menerusi undang-undang biasa, kononnya undang-undang ini boleh dipinda sesuka hati.
10. Ini bukan tafsiran saya. Ini tafsiran pakar undang-undang bernama Visu Sinnadurai, dalam tulisannya bertajuk The Citizenship Law Of Malaysia, dalam buku The Constitution of Malaysia: Its Development 1957-1977, yang disunting bersama oleh Tun Mohamed Suffian, H.P. Lee dan F.A. Trindade, terbitan Oxford University Press tahun 1979. Oleh sebab itu, kata Sinnadurai dalam tulisannya, peruntukan perlembagaan mengenai kewarganegaraan ini dilindungi oleh Perkara 150 (6A) dalam Perlembagaan Malaysia, dan juga dilindungi oleh Akta Hasutan. Ini istimewanya rakyat bukan Melayu di Malaysia. Kewarganegaraan mereka adalah antara peruntukan yang terkebal dalam perlembagaan negara kita. Orang Melayu dan Bumiputera menerima baik peruntukan ini. Kita tidak pernah ganggu-gugat, dan kita tidak pernah mengungkit-ungkit mengenai perkara ini.
11. Namun saya terangkan hal ini pada hari ini, oleh kerana saya berpendapat, PERKASA bertanggungjawab untuk mengingatkan seluruh rakyat Malaysia mengenainya. Saya imbas semula tulisan Sinnadurai mengenai hal ini pada hari ini, kerana saya yakin ada rakyat Malaysia yang tidak pernah tahu, atau sudah terlupa, mengenai hakikat undang-undang ini. Dengan ini, saya harap marilah kita teruskan perpaduan kita dan toleransi kita supaya destini dan masa depan kita bersama di negara majmuk ini terus terjamin dan terpelihara. Dengan ini juga, saya rayu semua bukan Melayu yang menyemaikan sentimen anti-Melayu dan anti-kerajaan pada hari ini, dengan menggunakan peruntukan perlembagaan, atau dengan menggunakan dasar-dasar negara yang berasaskan semangat perlembagaan, supaya berhentikan segera tindakan mereka.
12. Pada waktu yang sama, rentikan juga seluruh polemik dan kritikan politik mereka terhadap keistimewaan Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan Malaysia. Apa yang dinikmati oleh orang Melayu dan Bumiputera daripada keistimewaan ini, tidak sebesar nikmat yang segolongan bukan Melayu perolehi menerusi kewarganegaraan mereka di Malaysia. Namun orang Melayu dan Bumiputera, selaku peribumi, menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara majmuk, iaitu negara milik orang Melayu, milik Bumipurera, milik keturunan Cina, milik keturunan India, dan milik semua warganegara. Inilah semangat 1Malaysia yang abadi dan semangat yang menyatukan kita semua, untuk menjamin survival kita bersama. Bukannya semangat Malaysian Malaysia yang memecah-belahkan kita semua, dan mengancam survival kita bersama.
13. Berkait dengan soal survival atau kelangsungan ini, saya pasti pemerintah Malaysia pada hari ini, di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, akan terus memelihara dan mempertahankan survival Melayu dan Bumiputera dalam konteks ekonomi dan kemakmuran negara. Kita amat insaf bahawa keprihatinan Datuk Seri Najib terhadap hakikat ini sama seperti keprihatinan beliau terhadap lain-lain rakyat Malaysia tidak akan pudar. Kita juga cukup yakin bahawa di dalam proses transformasi negara pada hari ini, orang Melayu dan Bumiputera tidak akan hanyut bersama arus tersebut. Oleh sebab itu, dalam proses transformasi ini, PERKASA berharap semoga akan terbuka lebih luas peluang dan lawang kepada orang Melayu dan Bumiputera dalam konteks ekonomi dan perindustrian.
14. Hakikat ini selaras dengan pendapat pelbagai sarjana yang mengkaji soal keselamatan di negara-negara membangun dan majmuk. Mereka merumuskan bahawa pemerintahan di negara membangun dan majmuk perlu sentiasa menitikberatkan aspek kesejahteraan ekonomi rakyat jelatanya, perpaduan rakyat jelatanya, dan permuafakatan rakyat jelatanya. Ini kerana soal ekonomi di negara majmuk, jika tidak diserasikan dengan realiti sejarah peribuminya di era penjajahan, dan tidak pula disejajarkan dengan kepentingan sah lain-lain keturunan yang menjadi warganegaranya, aspek ekonomi ini boleh menjadi punca utama kepada persengketaan kaum, persengketaan yang bercorak masyarakat atau “societal;” dan persengketaan yang bercorak ideologi atau persengketaan “ideational.” Hakikatnya sedemikian kerana keselamatan nasional di sesebuah negara membangun dan majmuk perlu sentiasa mengambilkira seluruh sikap, nilai, budaya dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat jelatanya. Dengan cara ini, negara aman damai, rakyat makmur dan sejahtera, kelangsungan negara juga sentiasa terjamin.
15. Apa yang saya huraikan di sini pada hari ini, ada yang berlandaskan hakikat atau realiti. Tetapi, ada juga sebahagian intipati ucapan saya pada hari ini, adalah perkara yang konseptual atau berdasarkan konsep-konsep yang boleh menjamin kelangsungan sesebuah negara yang membangun dan majmuk, seperti Malaysia. Dengan ini, buat sekian kalinya, saya tegas di sini, bahawa PERKASA bukan pertubuhan perkauman, bukan organisasi rasis; bahkan satu kesatuan kumpulan rakyat Malaysia yang prihatin dan menjunjung tinggi kedaulatan Perlembagaan Malaysia.
16. Dengan kata-kata ini, dengan ucapan jutaan terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Harussani Hj Zakaria, Mufti Negeri Perak yang sudi merasmikan pertemuan kita pada hari ini, dengan ucapan selamat berjuang kepada seluruh ahli PERKASA, dan dengan seruan kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama mempertahankan survival Malaysia, saya akhiri ucapan saya dengan pintaan ampun dan maaf, dan wasalamualaikum WBK.


Oleh Zanuddin Salleh
http://www.pribumiperkasa.com/?p=9772

No comments:

Post a Comment