PUTRAJAYA: Tahap disiplin pelajar sekolah di seluruh negara masih berada dalam situasi terkawal dengan hanya dua hingga tiga peratus daripada lebih lima juta pelajar sahaja yang terlibat dengan masalah tahun lepas, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata prestasi itu dapat dicapai hasil daripada pelaksanaan pelbagai program dan kempen yang dilaksanakan secara berterusan bagi menangani masalah itu.
Menurutnya pada tahun lepas seramai 111,484 pelajar terlibat dengan salah laku disiplin iaitu 72,557 orang atau 65.08 peratus pelajar Sekolah Menengah, manakala 38,927 atau 34.92 peratus lagi adalah murid Sekolah Rendah.
"Jumlah salah laku bagi kategori berunsur jenayah adalah sebanyak 0.32 peratus atau 17,595 orang; kurang sopan (0.39 peratus atau 18,346); tidak pentingkan masa (0.33 peratus atau 17,808) dan ponteng sebanyak 19,545 atau 0.36 peratus.
"Kategori salah laku yang berada pada kadar yang kecil adalah berunsur kelucahan sebanyak 3,031 atau 0.06 peratus, vandalisme sebanyak 5,212 atau 0.1 peratus dan kenakalan sebanyak 8,563 (0.16 peratus)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid di sini, Isnin.
Mengenai gejala ponteng sekolah, Wee berkata tumpuan akan diberikan kepada semua sekolah termasuk sekolah-sekolah menengah di Felda dengan melaksanakan mekanisme tertentu supaya mereka juga tidak akan terabai.
"Ibu bapa mungkin terlalu sibuk dengan tugas harian sehingga mengabaikan anak-anak dan membawa kepada masalah disiplin seperti ponteng, menghisap dadah dan sebagainya," kata beliau.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya tidak menggalakkan anak-anak untuk tidak hadir ke sekolah terutamanya selepas musim peperiksaan.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment