Friday, May 23, 2014

PERKASA: PM hina NGO Islam


1:12PM Mei 22 2014
PERKASA menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memuji Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) sebagai menghina NGO Islam yang secara terbuka menolak majlis itu.
Setiausaha agung kumpulan pendesak Melayu itu Syed Hassan Syed Ali berkata, majlis itu dipertikaikan kerana wakil Melayu-Islam dalamnya jauh lebih sedikit berbanding bukan Melayu dan bukan Islam.
Malah, katanya, sejumlah 12 wakil Melayu-Islam dalam MKPN juga sebahagian besarnya “berfikiran liberal”.
"PERKASA melihat kenyataan PM memuji MKPN sebagai menghina NGO Islam," kata Syed Hassan (kiri).
Katanya, kenyataan yang tidak menambah baik perpaduan negara sering dikeluarkan oleh MKPN tetapi mendapat pujian perdana menteri sangat mengecewakan mereka.
“PERKASA tidak nampak lagi peranan positif MKPN dalam usaha memperkasakan perpaduan negara,” kata Syed Hassan.
Najib kelmarin dalam Twitter menulis, beliau berterima kasih terhadap usaha MKPN menjayakan hasrat pendamaian nasional.
“Usaha-usaha terpuji itu selaras dengan dasar 1 Malaysia,” tulisnya sambil memuatkan pautan terhadap laporan yang menyebut, 18 dialog perpaduan dianjurkan MKPN sejak penubuhannya.
Dalam kenyataannya hari ini, Syed Hassan berkata, NGO Melayu-Islam telah menghantar memorandum kepada Najib semasa perhimpunan agong Umno hujung tahun lepas.
Bagaimanapun, katanya, bukan sahaja tiada sebarang tindakan atau maklum balas, malah MKPN pula dipuji walaupun “beberapa kali buat kenyataan mengguris hati orang Melayu dan Islam”.
Beliau merujuk langsung kepada kritikan majlis itu yang mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ekoran isu rampasan Bible dalam mesyuarat pertamanya serta sokongannya terhadap cadangan mengeluarkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan.

No comments:

Post a Comment