Sunday, March 9, 2014

SAYA UTAMAKAN KEPENTINGAN NEGARA MENGATASI POPULARITI SENDIRI, KATA NAJI


> SAYA UTAMAKAN KEPENTINGAN NEGARA MENGATASI POPULARITI SENDIRI, KATA NAJI
>
> KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
> hari ini menggariskan perancangan kerajaan dalam usaha menjadikan Malaysia lebih
> kukuh dan makmur, dengan berkata pengukuhan ekonomi akan memastikan negara kekal
> pada kedudukan untuk merealisasikan status negara pendapatan tinggi.

>         Berucap pada Sidang Kemuncak Dialog Ekonomi Kebangsaan di sini, Najib
> menegaskan bahawa sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab utama beliau ialah
> melindungi rakyat Malaysia.
>         Najib berkata kepimpinan adalah membuat apa yang betul, bukan apa yang mudah,
> dan keputusan salah akan merencatkan pembangunan  Malaysia.

>         "Saya memilih untuk menjaga kepentingan jangka penting negara, mengatasi
> populariti jangka pendek saya. Dan saya yakin perubahan ini akan berjaya. Rekod
> ekonomi kita membuktikannya," katanya pada sidang kemuncak anjuran bersama
> Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) dan Institut Strategi dan
> Kepimpinan Asia (Asli).

>          Pengukuhan ekonomi akan memastikan negara kekal pada kedudukan yang baik untuk
> merealisasikan status negara berpendapatan tinggi dan negara maju, kata Najib
> yang juga Menteri Kewangan.
> Ini termasuk pelaksanaan pembaharuan subsidi yang menyaksikan pengurangan
> pembayaran untuk gula dan bahan api, selain peralihan daripada subsidi
> menyeluruh kepada sokongan bersasar bagi membantu mereka yang sangat
> memerlukannya.

>         Najib yang mengambil peluang ini untuk bercakap terus kepada rakyat, Perdana
> Menteri menjelaskan secara terperinci beberapa isu utama, termasuk pentingnya
> untuk melaksanakan subsidi bersasar, usaha untuk memerangi rasuah, pelaksanaan
> cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menarik pelaburan asing.

>         "Jika ekonomi mahu terus berkembang kukuh, kita bukan sahaja perlu
> mengurangkan perbelanjaan tidak produktif, malah meluaskan aliran pendapatan,
> yang membolehkan kita melabur pada masa depan.

>         "GST (yang akan diperkenal pada April 2015) akan membolehkan kita untuk
> meningkatkan perbelanjaan pembangunan. Daripada memberi subsidi, kita boleh
> membelanjakan lebih banyak wang untuk pelaburan produktif - ke atas
> infrastruktur, sekolah dan penjagaan kesihatan," katanya.

>         Mengulas lanjut, beliau berkata semasa kabinet meluluskan reformasi subsidi,
> ia dilakukan hasil sokongan padu Perbendaharaan, Bank Negara, dan Unit Perancang Ekonomi.
> Najib berkata beliau tidak memandang ringan terhadap keputusan untuk
> mengurangkan subsidi atau memperkenal GST.

>         "Saya memikirkan secara mendalam mengenai risiko, kemungkinan kesannya ke
> atas rakyat. Namun saya memutuskan kita perlu bertindak - untuk menjamin
> keselamatan, kemerdekaan dan pertumbuhan masa depan," kata Perdana Menteri.
>         Beliau berkata ini dilakukan berikutan Malaysia, yang sedang melakukan
> perjalanan, sudah pun menetapkan destinasinya - sasaran merealisasikan negara
> berpendapatan tinggi.
>         Najib bagaimanapun berkata kerajaan mendengar kebimbangan yang dihadapi
> rakyat, dan akan membuat penyesuaian dasar apabila diperlukan.
>         "Mentadbir adalah untuk membuat keputusan yang betul untuk esok, dan bukan
> hanya untuk hari ini. Kegagalan bertindak sekarang adalah sesuatu yang tidak
> bertanggungjawab," katanya.
>          Sambil menyatakan bahawa memang mudah untuk ahli politik membuat janji
> manis, menawarkan apa yang dikehendaki rakyat dan menangani akibatnya kemudian,
> Najib menegaskan bahawa 'kepimpinan adalah melakukan apa yang betul, bukan apa
> yang mudah."
> Najib berkata tindakan terbaharu oleh kerajaan itu disambut baik oleh
> pelabur dan agensi penarafan berikutan defisit bajet semakin menurun, kini pada
> 3.9 peratus, rendah daripada sasaran.
>         "Kita sedang menuju kepada bajet seimbang menjelang 2020 walaupun ada
> golongan cerdik pandai berkata ekonomi Malaysia akan berkembang," katanya sambil
> menegaskan KDNK (keluaran dalam negara kasar) meningkat 5.1 peratus pada suku
> lepas, selain rekod tinggi dalam perdagangan dan pelaburan asing.
>         Menerusi pelan strategik untuk memastikan kedudukan ekonomi yang baik,
> beliau berkata kemiskinan secara menyeluruhnya susut 97 peratus sejak 30 tahun
> lepas, dan tiada lagi golongan miskin tegar.
>         Sejak 1992, pendapatan isi rumah sudah meningkat tiga kali ganda, katanya
> mengenai perbezaan sebenar prospek rakyat biasa dan kehidupan golongan paling
> miskin dalam masyarakat.
>         Najib bagaimanapun berkata kemajuan perlu dibayar pada harga yang tinggi
> iaitu dalam bentuk perbelanjaan subsidi kerajaan yang meningkat, dengan kerajaan
> membelanjakan kira-kira 15 peratus bajet 2010 ke atas subsidi dan insentif,
> meningkat kepada 21.4 peratus atau RM44 bilion pada 2012.
> Najib bagaimanapun berkata kemajuan ada kosnya, dalam bentuk bayaran subsidi
> yang semakin meningkat dengan kerajaan membelanjakan 15 peratus bajet  2010 ke
> atas subsidi dan insentif, melambung kepada 21.4 peratus atau RM44 bilion pada
> 2012.
>     Pada 2009, defisit bajet negara - jurang antara jumlah yang diperoleh dan
> jumlah yang dibelanjakan -- sebanyak enam peratus, dengan kos subsidi antara
> faktor yang meningkatkan defisit, kata Najib.
>         Namun, defisit bajet tidak semestinya negatif, katanya sambil menegaskan
> walaupun sudah berada dalam defisit sejak lewat tahun 1990-an, ia tidak
> menghalang Malaysia daripada membangun.
>         "Dan banyak negara yang berjaya, seperti Jepun, mempunyai paras hutang yang
> tinggi," katanya.
>          Najib berkata di sebalik angka, hakikatnya ia memberi manfaat kepada isi rumah
> Malaysia, termasuk dari segi upah, yang terus meningkat.
>  "Gaji tahun lepas secara puratanya meningkat enam peratus, lebih tinggi
> berbanding inflasi pada 2.1 peratus," katanya dan menambah, sejak 2009,
> KDNK Malaysia telah berkembang pada purata 5.7 peratus setahun, dan pendapatan
> isi rumah meningkat 24 peratus.
>         Untuk terus membantu rakyat Malaysia menangani kos sara hidup, Najib berkata
>  RM40 bilion akan dibelanjakan tahun ini untuk subsidi makanan, bahan api dan
> pendidikan, untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah.
>         Beliau juga berkata dalam tempoh lima tahun akan datang, jumlah Bantuan
> Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dinaikkan kepada RM1,200 bagi membantu menampung
> kos hidup yang semakin meningkat.
>         Kerajaan pula mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak lima peratus,
> menurunkan kos pengangkutan, selain mengurangkan bajet keraian untuk menteri.
>         Najib juga berkata kerajaan juga mempergiat usaha memerangi rasuah dengan
> berkata memerangi punca merupakan antara keutamaannya.
>         "Namun kita mesti jujur. Kita tidak boleh petik jari dan rasuah akan
> terhapus dalam masa sehari. Dan oleh itu kita mesti tangani rasuah, menyusun
> semula subsidi dan memperkenal GST untuk menjadikan bajet seimbang," katanya.
>         GST ialah cukai enam peratus ke atas barang dan perkhidmatan bagi
> menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada sebanyak 16 peratus.
>     -- BERNAMA
>
>
>
> Bahagian Penerangan UMNO Malaysia 
> Tingkat 38, Menara Dato' Onn
> Jalan Tun Ismail
> 50480 KUALA LUMPUR
> TEL: 03-40429511
> FAX: 03-40456433/0340482677

No comments:

Post a Comment