Saturday, November 30, 2013

PERKASA Hantar Memo Bantahan Ke Kedutaan Singapura

KUALA LUMPUR 27 Nov - Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) menerusi Wira dan Wirawati hari ini menyerahkan memorandum bantahan ke Kedutaan Singapura berhubung Isu Pengintipan Maklumat Rahsia Kerajaan.

Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata, tindakan kerajaan Singapura yang dikatakan bersubahat dan mengizinkan negaranya menjadi pengkalan pengintipan oleh kuasa asing ke atas negara jiran termasuk Malaysia perlu dikecam dengan sekeras-kerasnya.

"Perbuatan pengintipan ini adalah satu perbuatan keji kerana tidak menghormati kedaulatan negara jiran dan melanggar etika hubungan diplomasi," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Memorandum Bantahan Terhadap Kerajaan Singapura di kedutaan negara itu di Ibu Negara di sini. 

Memorandum tersebut diterima oleh Ketua Setiausaha Kedutaan Singapura di Malaysia Tan Chee King dan Setiausaha Politiknya Harris Rusdi Chai.

Hadir sama Ketua Wira Perkasa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Zulkhairi Md Osman, Ketua Wira Perkasa Selangor Syamzari Md Nir, Pengerusi Tugas-Tugas Khas Perkasa Selangor Mohd Azizan Ismail dan Wirawati Perkasa Malaysia Marini Nasution, Nora Fazlifah serta Nor Azween Mohd Pandita.
 
Turut hadir Ketua Wira Perkasa Bandar Tun Razak, Mohd Faez Harith Khairil Anuwar, 23, yang berpakaian lengkap busana Melayu klasik simbolik kepada Pahlawan Melayu. Dalam masa sama Perkasa juga mengucapkan tahniah kepada Wisma Putra kerana telah mengambil tindakan segera dengan memanggil Duta Singapura ke Kuala Lumpur bagi memperjelaskan isu berkenaan.

"Perkasa turut menggesa kerajaan Singapura menghentikan perbuatan hina tersebut serta-merta dan wajar memohon maaf kepada seluruh rakyat dan negara Malaysia," tegas beliau. 


Source : rakyatnews.my 



No comments:

Post a Comment