Friday, March 11, 2011
A Doctor in The House carta No1
KUALA LUMPUR: Buku A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad mencatat sejarah tersendiri apabila terjual lebih 5,000 naskhah pada hari pertama di pasarkan ke seluruh negara, kelmarin.
Malah, penerbit buku, MPH Group Publishing Sdn Bhd akan mengulang cetak 10,000 lagi naskhah buku pengkisahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu, awal bulan depan sebagai tambahan kepada 50,000 naskhah bagi cetakan pertama. Pengurus kanannya, Ivy Tan, berkata buku berkenaan yang dijual di ratusan kedai buku di Malaysia dan Singapura termasuk Borders, Kinokuniya, Popular dan kedai buku kecil mempunyai keistimewaan tersendiri kerana bukan saja dibeli pelbagai kaum, malah golongan yang tidak menyukai buku berkenaan turut berminat mendapatkannya. “Banyak kedai buku sudah menghubungi kami untuk mendapatkan stok tambahan dan kami sendiri sudah kekurangan stok untuk menampung permintaan mereka.
“Buku ini sangat laris dan sepanjang ingatan saya, tidak ada buku yang mendapat sambutan hangat seperti ini kerana ramai yang ingin mengetahui kisah kehidupan Tun Dr Mahathir,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Buku A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad ditulis mantan Perdana Menteri itu yang menceritakan mengenai dirinya termasuk kisah peribadi dan sepanjang memimpin negara 22 tahun.
Beliau turut menulis mengenai kisah kontroversi membabitkan pemimpin negara termasuk timbalannya ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini Ketua Pembangkang, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment