Friday, December 17, 2010
PLURALISM DAN PENDIRIAN ISLAM
Konsep pluralisme ialah konsep kesamaan dalam kepelbagaian agama. Konsep ini menekankan bahawa semua agama adalah sama dan menuju kepada kemuncak kebenaran yang sama. Bagi penganut-penganut aliran ini, agama-agama besar di dunia seperti Islam, Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu dan yang seumpamanya, mempunyai dua struktur utama, iaitu, eksoterik (aspek luaran / zahir) dan esoterik (aspek dalaman / batin). Agama-agama ini, menurut mereka, hanya berbeza pada aspek luaran atau zahirnya sahaja, sedangkan pada aspek dalamannya ia adalah sama, iaitu menuju pada tuhan yang satu.
Sebagai contoh, sekiranya umat Islam menunaikan ibadat dengan cara bersolat di masjid, penganut agama Buddha beribadat dengan membaca mantera-manteranya di kuil, dan penganut-penganut Kristian pula hadir dan bertafakur di gereja pada setiap hari Ahad, dan begitulah seterusnya. Justeru, menurut mereka, kesemua bentuk ibadat itu adalah benar dan diiktiraf kerana kesemuanya menuju kepada satu ‘kebenaran yang hakiki’, iaitu Tuhan. Bagi umat Islam Tuhannya ialah Allah, manakala bagi penganut Kristian Dia adalah Jesus, dan begitulah seterusnya.
Antara tokoh yang mempopularkan isme ini ialah Ernst Troeltsch (1865-1923), Arnold Toynbee (1889-1975), Wilfred Cantwell Smith (1916-2000) dan John Harwood Hick (1922-sekarang). Pengaruh isme ini begitu kuat sehinggakan segelintir umat Islam sudah mengimani konsep ini pada hari ini. Sebagai contoh, seorang tokoh Islam Liberal di Indonesia yang bernama Ulil Absar Abdalla, tanpa segan silu lagi menyatakan bahawa “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran. Jadi, Islam bukan yang paling benar.” Hal ini dilaporkan dalam majalah Gatra, 21 Disember 2002.
Islam menghormati semua agama tetapi ia tidak bersetuju dengan aliran yang mengatakan bahawa semua agama adalah sama. Sebagai contoh, pada 29hb Julai 2005, Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwanya yang memutuskan bahawa aliran pluralisme adalah bertentangan dengan Islam. Fatwanya berbunyi, “Pluralisme agama adalah suatu faham yang mengajarkan bahawa semua agama adalah sama dan kerananya kebenaran setiap agama adalah relatif. Oleh sebab itu, setiap pemeluk agama tidak boleh (mendakwa) bahawa hanya agamanya saja yang benar sedangkan agama yang lain salah…… Pluralisme…. sebagaimana dimaksudkan pada bahagian pertama adalah (kefahaman) yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment