SUDAH banyak persoalan mengenai fungsi sebenar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dibincangkan masyarakat namun kedudukannya masih lagi samar manakala pemahamannya masih tidak menyeluruh.
Sebagai sebuah negara demokrasi, mahasiswa mempunyai pilihan untuk terbabit dalam politik bagi menentukan hala tuju masa depan negara.Ada menganggap AUKU 1971 hanya sebagai sekatan mahasiswa terbabit dalam parti politik, pertubuhan dan kesatuan sekerja.
Ini menyebabkan mahasiswa terumbang ambing tanpa haluan apatah lagi memenuhi tanggungjawab sosial anggota masyarakat.
Sejak akhir-akhir ini, akta itu semakin dipertikaikan banyak pihak malah pertubuhan politik termasuk MCA secara terbuka mengkritik AUKU 1971 dengan menganggap ia tidak relevan lagi.
Benarkan AUKU 1971 tidak relevan dan ketinggalan zaman? Adakah ia membantu selera mahasiswa untuk terbabit dalam politik sedangkan di usia dan peringkat ini adalah landasan tepat untuk mengilap bakat sebagai pemimpin? Timbalan Dekan Pembangunan dan Penyelidikan Universiti Malaya (UM), Dr Zulkarnain Abdul Rahman, berkata ketidakfahaman mengenai AUKU 1971 menyebabkan ramai menganggap ia menyekat keghairahan mahasiswa berpolitik.
Beliau berkata, banyak fasal dalam AUKU 1971, merangkumi pelbagai aspek seperti penubuhan sesebuah universiti, perlembagaan dan kaedah tata tertib tapi masyarakat hanya melihat satu konteks saja iaitu larangan berpolitik.
"Tanggapan kurang tepat inilah yang membuatkan akta ini 'panas' terutama apabila mahasiswa berpolitik. Tambah kritikal apabila mereka ditangkap, dihukum sehingga mencetus polemik masyarakat.
"Saya melihat akta ini mencakupi pelbagai aspek yang diperuntukkan bagi menjaga kebajikan institusi," katanya.
AUKU 1971 diwartakan pada 29 April 1971 namun Fasal 15 sering kali menjadi perbahasan. Fasal itu menyebut pelajar atau pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar dilarang bersekutu dengan persatuan kecuali diperuntukkan di bawah Perlembagaan atau diluluskan Naib Canselor.
Ringkasnya, mahasiswa di semua institusi pengajian tinggi (IPT) tidak boleh menyertai atau terbabit dengan mana-mana parti politik.
Menurutnya, mahasiswa perlu mempunyai pendirian berkecuali tapi pada masa sama peka dengan tuntutan semasa.
"AUKU 1971 sebenarnya menyuburkan amalan demokrasi di negara ini dan mahasiswa boleh membuat penilaian mengenainya," katanya.
Katanya, kajian mendapati kira-kira 1.3 juta generasi muda belum mengundi.
"Angka itu menunjukkan bukan semua mahasiswa mahu terbabit dengan isu politik malah ramai masih di atas pagar.
"Justeru, jangan menyekat mereka meluahkan pendapat kerana ia boleh menjejas proses menjadi pemimpin," katanya.
Dr Zulkarnain melihat akta itu memperkasakan sesebuah institusi tetapi ramai lebih suka memprovokasi atau mensensasikan isu ini.
Ditanya sama ada pembabitan mahasiswa di negara ini ekstrem hingga memerlukan akta itu, beliau berkata, pembabitan mereka terhad dan tidak berbahaya.
"Anggapan atau menyamakan mahasiswa dengan perjalanan politik luar negara tidak adil kerana ada kekangan budaya dan tata nilai bangsa yang berbeza.
"Malah, saya percaya, jika akta itu dimansuhkan, mereka tidak akan bertindak bodoh kerana tahu menilai baik buruk," katanya yang bersetuju mahasiswa menjadi mangsa kepentingan pihak tertentu memanipulasikan kedudukan mereka.
Beliau mengakui, akta yang menegah mahasiswa terbabit dalam politik sudah tidak lagi relevan kerana proses pembelajaran semakin maju dan memerlukan elemen pembelajaran berbeza. "Justeru, jangan takut kepada bayang-bayang sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment